Buletin Semasa - 27hb Disember 2010

27 Disember 2010 - Isnin
Perhimpunan pagi bagi pelajar Cawangan Klang dimulakan dengan ucapan dari guru bertugas; Ustaz Hamdan. Pada ucapannya, beliau menekankan tentang matlamat dan tujuan sebenar para pelajar, belajar di Maahad Hafiz, disamping menyatakan bahawa pelajar adalah antara insan yang dipilih oleh Allah. Menghafal Al-Quran bukan satu perkara yang mudah. Hanya mereka yang layak dan mampu sahaja boleh melakukannya ulas beliau lagi.


Pada perhimpunan mingguan kali ini, Puan Pengetua memberi satu nasihat berguna tentang sikap sesetengah pelajar yang diandaikan beliau seperti "Pahat dengan Penukul". Pelajar harus mempunyai sikap aktif dalam semua bidang. Bijak mencari setiap peluang dalam semua hal. Mempunyai inisiatif sendiri yang membina dalam menyelesaikan segala bentuk masalah. Dalam pada itu, pelajar mesti tahu peranan masing-masing bukan sahaja peranan sebagai seorang pelajar dan sebagai seorang anak, malah peranan sebagai seorang Muslim dalam memastikan Islam terus dihormati dan disegani. Puan Pengetua juga turut mengumumkan tentang Temasya Sukan tahunan dan cuti tambahan pada cuti perayaan Tahun Baru Cina akan datang.


Ustaz Hafiz turut memberikan ucapan ringkas, serta sempat bercerita tentang pertemuan beliau dengan bekas pelajar-pelajar Kolej Hafiz yang sedang menuntut di Universiti Islam Madinah; semasa beliau menjadi salah seorang pengiring Jemaah Haji baru-baru ini. Seramai 120 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Islam Madinah dan 17 orang darinya adalah pelajar Kolej Hafiz. 3 orang pelajar bekas Kolej Hafiz itu pula baru-baru ini telah dilantik menjadi Exco Persatuan Mahasiswa di sana. Satu pencapaian yang cukup membanggakan. Diakhir ucapan tersebut, beliau mengumumkan nama beberapa orang pelajar yang berjaya mendapatkan Black Belt (taekwon-Do).


Perhimpunan pagi diakhiri dengan bacaan doa.